nuffnang

Monday, 17 October 2011

Hujan



Tika mama sampai di Rantau Panjang pada hari Sabtu, hujan mulai turun dengan lebatnya.  Beberapa orang anak kampung kelihatan berlarian bermain hujan bersama kawan-kawan.  Wajah nan ceria itu menggamit kenangan silam sewaktu mama seusia mereka.  Mama seorang yang lasak ketika kecil.  Bila hujan, pasti mama tidak melepaskan peluang untuk bermain hujan.  Sampai kecut tangan masih tak puas-puas juga.  Mak mama dah tak mampu nak kawal  kedegilan mama.



Paling menyeronokkan adalah mandi di cucur atap.  Airnya paling banyak dan paling laju.  Dah pasti mama tadah kepala di bawah cucur atap itu.  Mak mama letakkan satu tempayan besar dibawah cucur atap.  Ditakung air hujan untuk tujuan menyiram pokok.  Kadang kala mama masuk terus dalam tempayan itu dan berendam dalam hujan.  Kadangkala mak mama minta cabut ubi untuk direbus buat makan kami adik beradik ketika waktu hujan.  Waktu itu, mama memang cergas dan pantas, sanggup buat apa saja asalkan dapat main hujan.  Kadangkala cabut ubi pun buat lambat-lambat.  Sebab dapat main lebih.







Yang menakjubkan pula,  main dalam hujan lama pun tapi tak kerap demam.  Macam kebal aja.  Setelah puas bermain, mama naik kerumah.  Tak bilas pun terus salin baju dan mengadap ubi rebus cicah dengan sambal tumis atau ikan kering.  Pehh... punyalah sedap.  Sambal tumis pun kosong saja.  Mak mama memang tak mampu nak menyediakan makanan  macam orang sekarang.  (Terima ksih mak atas segalanya.  Tidak terbalas jasa mak kepada saya.  Hanya doa saya mak bahagia didunia dan diakhirat)







Bila dah besar sikit, dah anak dara, mama suka tengok titis-titis hujan dari tingkap saja.  Dah tak berlari dan bermain dalam hujan lagi.  Waktu itu, anak-anak dara sunti tak banyak aktiviti macam zaman ini.  Dunia kami tika itu, hanya sekolah dan rumah saja.  Aktiviti lepas sekolah memang cukup kurang.  Ditambah lagi kampung mama yang terpencil jauh.  Bila hujan telah reda, mama keluar rumah dan potong batang ubi pendek-pendek.  Kemudian cucuk ditanah.  Pisang dan ubi kayu memang makanan harian selain dari nasi.  Pelbagai menu dibuat dari dua bahan itu.  Tapi sekarang kalau mama teringin pun, tak buat sebab nanti mama makan sorang-sorang.  Anak-anak semua tak gemar.  Mama ada juga tanam ubi dan pisang di kebun.  Tapi selalu beri kat burung makan.  Tak ada siapa yang mahu pun.  Terkenangkan penduduk Somalia yang menghadapi krisis makanan.  Tapi tak kan nak hantar pisang dua tiga tandan kesana?






Jumpa lain kali.
Assalammualaikum.

No comments:

Post a Comment